SRI AMAN, 21 Ogos: Patricia Jaquilina Bruce bakal menjadi atlet wanita pertama Sarawak untuk meraih pingat emas bagi kategori 48kg (wanita) jika berjaya menumpaskan pencabarnya dari Sabah, Dierdra Jacquelina Richard esok.
Patricia berjaya melangkah ke peringkat final setelah berjaya mengalahkan Nur Balqis Syazwani Mohd Sahidi dari Terengganu di Stadium Tertutup, Kompleks Sri Aman, malam tadi.
Pada sidang media, katanya, dia mempunyai senjata rahsia untuk menumpaskan pihak lawannya.
“Fokus saya sekarang adalah untuk menggenggam pingat emas.
“Saya selalu mendapat nasihat daripada jurulatih untuk senantiasa tidak terlalu berasa gugup apabila berada di dalam gelanggang dan saya hadamkan nasihat itu demi Sarawak,” katanya.
Untuk rekod, saingan separuh akhir itu merupakan perlawanan sulungnya pada SUKMA ini kerana lawannya pada saingan suku akhir iaitu Kwek Connie dari Pulau Pinang hilang kelayakan untuk bertanding atau walkover dan seterusnya memberikan kemenangan percuma kepada dia.
Pada perlawanan itu, dia berjaya mengutip mata penuh daripada kelima-lima juri sebanyak 10 mata pada ketiga-tiga pusingan dan secara tidak langsung meraih perfect five daripada pihak juri.
Menariknya juga, atlet Sarawak, Hamiesha Hamdan yang bertarung pada kategori 57kg juga berjaya melangkah ke peringkat akhir apabila menerima kemenangan percuma selepas lawannya, Chalcy July dari Sabah hilang kelayakan untuk bertanding. – TVS