KUCHING, 6 Ogos: Rakyat Sarawak yang belum menerima suntikan vaksin COVID-19 diingatkan untuk berbuat demikian dalam kadar segera, tegas Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian
Ia susulan kebanyakan aktiviti ekonomi bakal melaksanakan satu dasar baharu iaitu hanya individu yang sudah lengkap dua dos vaksin dibenarkan masuk ke kawasan berniaga.
Katanya, ia merupakan tanggungjawab semua untuk melindungi diri sendiri dan juga melindungi orang lain daripada virus COVID-19 meskipun Sarawak merupakan antara negeri tertinggi dalam pemberian vaksin COVID-19.
“Apabila banyak orang telah divaksin, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan melaksanakan polisi hanya individu yang sudah menerima dua dos vaksin dibenarkan masuk ke premis perniagaan.
“Ini bukan sahaja untuk melindungi diri sendiri tetapi untuk melindungi semua orang,” katanya pada satu sidang media selepas menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 Untuk Penjaja dan Peniaga Kecil di sini pada Jumaat.
Sementara itu, Sarawak juga sedang meneliti untuk memperluaskan program pemberian vaksin COVID-19 kepada golongan remaja berumur antara 12 hingga 18 tahun.
Dr Sim yang juga merupakan Penasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, kerajaan telah meminta Kumpulan Penasihat Vaksin COVID-19 Sarawak (SCOVAG) untuk melihat polisi serta pendekatan bagi vaksinasi ini.
“Program vaksinasi di Sarawak adalah jauh ke depan berbanding di negeri-negeri lain dalam Malaysia dan telah meliputi hampir semua mereka yang layak 18 tahun ke atas.
“Sebab itu kita di Sarawak perlu melihat perkara ini kerana antara 15 Julai hingga 3 Ogos tahun ini, 20 peratus daripada lebih 1,000 pesakit COVID-19 di Hospital Umum Sarawak (HUS) adalah di bawah umur 18 tahun. Kita mahu kumpulan pakar kita melihat vaksin mana yang terbaik untuk mereka,” katanya.
Tambah Dr Sim, kerajaan juga meminta SCOVAG untuk meneliti pemberian suntikan dos ketiga sebagai dos penggalak.