KUALA LUMPUR, 5 Ogos — Aktiviti pengimportan, pengiklanan, penjualan, pengilangan termasuk compounding Ivermectin sebagai rawatan COVID-19, adalah hanya untuk tujuan percubaan klinikal sahaja.
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) Amrahi Buang berkata, satu surat edaran telah mereka diterima daripada Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), bagi memaklumkan perkara itu.
“Kami menerima surat edaran itu yang bertarikh 4 Ogos dan mengikut edaran ini, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak ada halangan untuk penggunaan produk tidak berdaftar Ivermectin, tetapi hanya bagi tujuan klinikal sahaja,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Amrahi yang turut berkongsi surat itu berkata, lanjutan itu adalah menjadi tanggungjawab semua ahli farmasi berlesen, untuk memastikan semua arahan dipatuhi.
Ini katanya, bagi mencegah penggunaan tidak sah produk Ivermectin, dalam memastikan rakyat negara ini mendapat hanya produk yang berkualiti, selamat dan berkesan, dalam suasana wabak penularan COVID-19.
Beliau berkata, surat itu turut menyatakan bahawa sebarang bentuk pengiklanan produk racun termasuk Ivermectin, tidak dibenarkan sama sekali kerana bertentangan dengan dasar Lembaga Iklan Ubat (LIU).
Oleh itu katanya, pihak farmasi perlu memastikan aktiviti pengimportan, pengilangan termasuk compounding dan penjualan bahan mentah Ivermectin atau produk yang mengandungi Ivermectin bagi tujuan rawatan jangkitan COVID-19 selain di bawah percubaan klinikal, perlu dihentikan dengan serta-merta.
“Pengiklanan berkaitan bahan atau produk itu juga perlu dihentikan segera dan tidak diulang siar dalam mana-mana media”, seperti yang dinyatakan dalam surat berkenaan.
Sementara itu Amrahi berharap, ahli-ahli farmasi berlesen menunggu hasil ujian klinikal KKM terhadap pesakit COVID-19 di 12 hospital KKM, berhubung keberkesanan produk Ivermectin.
“Hasil kajian ini akan berakhir pada hujung Ogos dan kemungkinan akan dapat keputusan awal September, sama-samalah kita tunggu,” katanya.
Beliau juga merayu, agar masyarakat tidak menggesa pihak farmasi menjual atau mendapatkan ubat itu untuk mereka bagi tujuan rawatan COVID-19, dan ahli farmasi yang mengingkarinya boleh dikenakan tindakan tegas.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM akan menjalankan ujian klinikal terhadap 500 pesakit, untuk menilai keberkesanan penggunaan Ivermectin.
— BERNAMA