KAPIT: Sarawak mampu mencapai imuniti kelompok pada pertengahan Ogos atau September berdasarkan kepada pencapaian pemberian vaksin setakat ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Beliau yakin Sarawak akan mencapai sasaran tersebut dengan bantuan dan kerjasama semua pihak, termasuk pihak Angkatan Tentera Malaysia, dan juga sambutan rakyat terhadap program pemberian vaksin di negeri ini.
Beliau turut berpuas hati dengan pencapaian keseluruhan program pemberian vaksin di Sarawak yang mendahului negeri-negeri lain.
Memetik statistik pemberian vaksin di bahagian Kapit, katanya Kapit telah melebihi sasaran 80 peratus dengan mencapai 84 peratus pemberian dos kedua.
“Ini merupakan pencapaian yang amat memberangsangkan walaupun keadaan di kawasan Kapit amat mencabar dari segi bentuk muka bumi dan taburan penduduk yang berselerak,” katanya menerusi ucapan ringkasnya setelah meninjau proses pemberian vaksin kepada 178 orang penduduk dari perkampungan kaum Kenyah di Long Singut di Hulu Baleh sini pada Khamis.
Program pemberian vaksin di perkampungan tersebut dikendalikan oleh pihak ATM dengan kerjasama pelbagai pihak, khususnya pihak pentadbiran bahagian Kapit.
Hadir sama dalam lawatan itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Panglima Medan Timur Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.