KUALA LUMPUR, 5 Ogos: Ketua Armada Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menafikan beliau memujuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya menyokong Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti yang didedahkan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan itu semalam.
Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, mengakui beliau mengadakan pertemuan dengan Syed Saddiq baru – baru ini namun berlangsung atas dasar persahabatan dan kapasiti peribadi.
“Saya menganggap beliau sebagai sahabat, adik dan rakan seperjuangan. Oleh itu, idea yang saya bawakan adalah untuk mengetepikan perseteruan politik dan menggembleng semangat penyatuan anak muda demi untuk membina semula negara secara bersama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Syed Saddiq sebelum ini mendedahkan Bersatu ‘menghantar’ Wan Ahmad Fayshal sebelum beliau didakwa di mahkamah berkaitan penyelewangan dana milik bekas partinya dan berasa pelik kerana kerana dipujuk untuk kembali menyokong Perdana Menteri dan PN.
Pada masa sama, Wan Ahmad Fayhsal turut menafikan kesemua tohmahan terhadapnya serta tidak pernah membuat sebarang tawaran atau memberikan ugutan.
“Ini tidak benar (ugutan) malahan dakwaan bahawa kes mahkamah yang sedang dihadapi beliau telah ‘direka’ amatlah tidak berasas kerana laporan polis yang membawa kepada siasatan kes ini dibuat oleh Syed Saddiq sendiri,” katanya.
Wan Ahmad Fayhsal turut ‘mengingatkan’ Syed Saddiq bahawa mahkamah merupakan forum terbaik untuk membuktikan kebenaran sekiranya beliau tidak bersalah.
“Kami akan sentiasa doakan yang terbaik dan selamat maju jaya kepada Syed Saddiq,”katanya. -TVS