KUCHING, 15 Ogos: Atlet wushu Sarawak, Stephanie Ngu Chai Ern menyasarkan pingat emas ketiga untuk kontinjen Sarawak menerusi Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 dalam acara qiangshu yang berlangsung esok.
Stephanie Ngu ditemui wartawan selepas majlis penyampaian pingat di Dewan Wushu SSC menzahirkan rasa puas hati dengan pencapaiannya hari ini.
Beliau meraih pingat emas kedua untuk kontinjen Sarawak dalam acara wushu jianshu hari ini dengan mata tertinggi 9.610 menewaskan 12 pencabar lain.
“Esok saya akan bertanding dalam acara qiangshu dan saya akan bertanding dengan sedaya upaya,” katanya.
Atlet berusia 20 tahun itu menyumbang pingat emas pertama kontinjen Sarawak menerusi acara changquan wanita pada Rabu. – TVS