Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengurus Sukan Angkat Berat Melaka Imran Lamin berkata sebanyak tujuh atlet bakal beraksi di SUKMA Sarawak 2024 dengan persediaan kini hampir mencapai 100 peratus. Foto: Bernama

SUKMA 2024: Nurul Syasya Khairina mahu ulangi pencapaian emas angkat berat di Sarawak

ByBernama

JASIN, 13 Ogos: Atlet pelapis negara Nurul Syasya Khairina Syamsur,15, bertekad untuk mempertahankan pingat emas acara angkat berat wanita pada temasya Sukan Malaysia ke-21 (SUKMA XXI) Sarawak yang membuka tirai Sabtu ini.

Anak kelahiran Nyalas di sini, yang mengukir sejarah memenangi emas pertama dalam acara sukan angkat berat untuk Melaka itu juga mahu membalas kepercayaan semua pihak terutama ibu bapa yang banyak berkorban menyokong usahanya dalam sukan itu.

Beliau yang bakal beraksi dalam acara 55 kilogram (kg) kini memberikan tumpuan 100 peratus kepada segala teknik angkatan yang dipelajari selain enggan dibelenggu dengan isu kecederaan di saat akhir.

“Saya berdoa supaya tahun ini dapat menyumbangkan lagi pingat untuk Melaka dan saya akan cuba untuk berikan yang terbaik kepada pasukan.

“Saya juga tidak mahu terlalu selesa atau terlalu yakin namun akan berusaha sedaya upaya membuat latihan hingga ke pertandingan sebenar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Nurul Syasya Khairina berkata beliau menjangkakan saingan sengit daripada atlet Perlis, bagaimanapun melihat ia satu cabaran yang harus ditempuhi untuk menterjemahkan segala latihan dan teknik yang diajar oleh jurulatih.

Beliau yang pernah mendapat latihan bersama atlet Filipina Hidilyn Diaz di Kampung Kesang Tua masih mengingati nasihat dan tips berguna daripada pemenang pingat emas Olimpik Tokyo 2020 itu untuk menjadi atlet angkat berat yang berjaya.

“Hidilyn mengingatkan agar saya rajin membuat latihan, tidak tidur lewat dan kurangkan bermain telefon bimbit terutamanya pada waktu malam kerana katanya kalau mahu berjaya itu antara displin yang perlu diikuti,” katanya.

Sementara itu Pengurus Sukan Angkat Berat Melaka Imran Lamin berkata sebanyak tujuh atlet bakal beraksi di SUKMA Sarawak 2024 dengan persediaan kini hampir mencapai 100 peratus.

“Pada ketika ini tumpuan utama kita adalah untuk melihat teknik yang dipraktikkan oleh kesemua atlet untuk memastikan persembahan mereka berjalan lancar,” katanya.

Acara angkat berat bakal berlangsung pada 19 hingga 23 Ogos ini di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan