Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pihak pembelaan bagi mencabar kredibiliti seorang saksi utama pendakwaan. Foto: BERNAMA

Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram RM100,000

JOHOR BAHRU, 5 Ogos — Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM100,000, tiga tahun lepas. 

Syed Saddiq, 29, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Syed Saddiq didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling di sini pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq tidak membantah cadangan jaminan dan permohonan pindah kes itu.

Ahmad Kamal Arifin  membenarkan ikat jamin yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diguna pakai dalam kes ini iaitu jaminan RM330,000 dengan seorang penjamin, serta menyerahkan pasport sehingga kes selesai dan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali.

Mahkamah turut membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan menetapkan 10 Sept untuk sebutan semula kes.

Selain Wan Shaharuddin, pihak pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Akram Gharib dan Mohd Afif Ali. 

Pada 22 Julai lepas, Syed Saddiq dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta, dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan

ByBernama-
ByBernama-
ByBernama-