KOTA KINABALU, 4 Ogos — Inisiatif pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Malaysia Sabah (UMS), mengadakan program vaksinasi secara tanpa janji temu atau ‘walk-in’, memberi kelegaan kepada individu yang masih belum menerima tarikh janji temu, melalui aplikasi MySejahtera.
Seorang penerima Wong Chih Onn, 48, yang mengetahui program itu daripada rakan-rakannya melalui aplikasi Whatsapp berkata, inisiatif seperti itu dapat mempercepatkan lagi sasaran kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok, kerana masih ramai lagi belum menerima tarikh janji temu untuk menerima suntikan.
“Saya rasa sangat bagus (tanpa janji temu) sebab program ini mempercepatkan vaksinasi kepada masyarakat. Tidak sampai satu jam setengah sudah siap (vaksin),” katanya ketika ditemui di PPV UMS di sini hari ini.
Perasaan sama turut dikongsikan Valentine Kulin Orow, 41, yang berharap program seperti itu diperluaskan bagi memudahkan masyarakat untuk mendapatkan vaksin, sekali gus melindungi diri dan keluarga daripada dijangkiti virus berbahaya itu.
Sementara itu Pengarah Hospital UMS Profesor Dr Helen Benedict Lasimbang berkata, program vaksinasi secara tanpa janji temu itu dibuat, memandangkan hampir 20 peratus daripada mereka yang telah mendapat tarikh janji temu di pusat PPV itu tidak hadir untuk menerima suntikan.
Berikutan itu, pihaknya membuat keputusan untuk memberi suntikan vaksin itu kepada golongan yang berisiko tinggi berumur 40 tahun ke atas, atau golongan komorbid yang belum mendapat tarikh di PPV lain dan bukan kontak rapat kes positif COVID-19 secara tanpa janji temu bermula semalam hingga 6 Ogos.
“Vaksinasi secara tanpa janji temu ini ada had, iaitu hanya 1,000 dos sehari atau berdasarkan jumlah yang tidak hadir untuk janji temu… sesiapa yang mahu datang secara tanpa janji temu ini dipersilakan, namun kami harap orang ramai akan dapat bersabar,” katanya.
— BERNAMA