KUCHING, 12 Ogos: Inisiatif Sarawak dalam membangunkan pelbagai inisiatif berhadapan cabaran perubahan iklim terus mendapat perhatian pelbagai pihak.
Terbaharu, International Finance Corporation melalui Pengurus Negara untuk Singapore, Malaysia dan Brunei Katia Daude Goncalves menyatakan kesediaan syarikat berkenaan untuk menyokong membangunkan bidang-bidang yang berupaya membantu mendepani perubahan iklim bagi tujuan pelaburan yang mampan.
“Di Sarawak, kami tahu bahawa negeri ini mempunyai grid hijau yang sangat baik dan bercadang untuk mengembangkannya melalui pelaburan. Jadi kami mahu melihat sekiranya ada cara untuk kami menyokong hasrat ini.
“Kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini adalah untuk kami memperkenalkan diri dan memaklumkan beliau bahawa kami terbuka untuk terlibat sama (dalam inisiatif Sarawak).
“Menerusi kunjungan hormat ini kami menyatakan semula minat dan sokongan kami terhadap projek yang telah kami kenal pasti sebelum ini dan penting juga untuknya (Premier) kerana kami berminat meneruskannya (projek),” katanya ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Katia turut menyifatkan Premier Sarawak seorang yang begitu menekankan mengenai perubahan iklim serta mempunyai pemikiran ke hadapan.
Tambah beliau, pihaknya sedang giat mencari pelaburan dalam bidang yang menjurus ke arah mendepani cabaran perubahan iklim termasuk tenaga hijau, infrastruktur dan industri pembuatan bernilai tinggi.
“Malaysia mempunyai kemahiran dan keupayaan tinggi dalam bidang-bidang ini. Kami tahu bahawa ini adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk melabur lebih banyak dalam bidang berkenaan dan kami cuba menyelaraskan tumpuan kami dengan bidang utama yang diberi perhatian oleh kerajaan,” tambahnya.
Katanya, sebelum ini pihaknya telah melabur dalam beberapa projek di seluruh Malaysia termasuk projek kitar semula plastik di Malaysia dan Projek Pusat Data di Johor Bahru. – TVS