KUCHING, 5 OGOS : Akibat ketagihan dadah, seorang lelaki dipercayai bertindak membakar rumah keluarganya di Kampung Semarang 5 di sini awal pagi Khamis.
Pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan pada jam kira-kira dua pagi sebentar tadi (Khamis).
Menurut Komander Operasi Azaharul Sahari, kebakaran turut memusnahkan tiga buah rumah lain yang didiami jiran suspek ekoran api yang marak dengan cepat.
Suspek yang berusia 36 tahun itu kemudiannya bertindak melarikan diri dan sedang giat diburu pihak berkuasa.
Azaharul berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 2.01 pagi.
Seramai 34 anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, BBP padungan dan BBP Tabuan Jaya digerakkan ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan tiga buah rumah iaitu rumah jenis kayu terbakar 100 peratus, rumah jenis separuh kekal dua tingkat terbakar 70 peratus dan rumah ketiga terbakar 3 peratus di bahagian dinding.
“Kebakaran dapat dikawal sekitar jam 2.35 pagi,” katanya ketika dihubungi.
Difahamkan rumah yang musnah 100 peratus hanya didiami mangsa seorang, yang semasa kejadian tiada di rumah.
Manakala rumah yang musnah 70 peratus didiami seramai tujuh orang mangsa dan kesemua mangsa selamat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah menegsahkan dua kertas siasatan telah dibuka terhadap suspek yang berusia 36 tahun di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api yang memperuntukkan hukuman penjara selama tujuh tahun dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.