KUCHING, 12 Ogos: Penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini mengeluarkan single ketiga dari album Antonim Part 1, berjudul Kejora.
Syarikat label Rocketfuel Entertainment dalam satu kenyataan memaklumkan, video muzik eksklusif Kejora itu akan ditayangkan pada 9 Ogos ini, jam 9 malam di saluran YouTube rasmi Hael Husaini.
“Video muzik ini dihasilkan oleh Rocketfuel Studios dan penggambaran telah dijalankan selama satu hari di Shah Alam.
“Proses penggambaran yang intensif ini berjaya menghasilkan visual yang memukau dan penuh emosi di samping menggambarkan jalan cerita yang menyentuh hati,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, kelainan yang dibawakan video muzik Kejora itu terletak pada konsep dan arahan kreatif artis di bawah naungannya yang turut menampilkan sisi berbeza Qasrina Karim, sebagai watak pasangan.
“Berbeza dengan wataknya dalam drama dan penampilannya di media sosial, Qasrina mempamerkan kemahiran menarinya yang jarang dilihat oleh peminat,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, koreografi yang dihasilkan khas untuk video muzik ini memperlihatkan kebolehan Qasrina dalam tarian, sekali gus menambahkan dimensi baharu kepada lakonannya.
Menurut kenyataan, lagu Kejora adalah hasil ciptaan Hael Husaini bersama dua komposer berbakat, Firdaus Rahmat dan Hanis Rafi.
Kata kenyataan itu, Hael Husaini memainkan peranan sebagai seorang penyanyi dalam video muzik ini, sementara Qasrina Karim memegang watak seorang wanita yang menunggu cinta sejatinya.
“Kisah cinta yang digambarkan dalam video muzik ini adalah refleksi kepada lirik dan melodi lagu
Kejora, yang menceritakan tentang kesetiaan seseorang terhadap kekasihnya.
Lagu ini menceritakan tentang kesetiaan dan pengorbanan dalam cinta, dengan melodi yang merdu dan lirik yang mendalam, “ jelas kenyataan itu.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan video muzik Kejora pada 9 Ogos 2024 di saluran
YouTube Hael Husaini.
Anda juga boleh strim terus lagu Kejora dan album Antonim Part I di semua platform digital seperti Apple Music, Spotify, Deezer, KKBox, YouTube dan YouTube Music serta berpeluang menghasilkan kandungan video di TikTok dan Instagram Reels menggunakan lagu ini. – TVS