KUCHING, 11 Ogos: Pasukan boling padang negeri Selangor percaya mampu meraih lebih daripada sasaran satu pingat emas yang ditetapkan di peringkat negeri pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) kali ini.
Pengurus Pasukan Boling Padang Selangor, Ahmad Fahim Rosli berkata, dia percaya sukan boling padang mampu terus menjadi antara penyumbang kepada pingat emas bagi kontinjen Selangor.
Katanya, Selangor mempunyai perancangan dan persiapan yang cukup rapi bagi menghadapi acara ini tanpa merendahkan pasukan bertanding yang lain yang masing-masing mempunyai kekuatan mereka tersendiri.
“Memang kalau diikutkan sukan boling padang adalah salah satu sukan yang menyumbang emas kepada negeri Selangor, kita pun tak boleh memandang rendah kepada pasukan-pasukan yang lain jadi kita ada kekuatan dan punya strategi, Insya-Allah kita akan tunjukkan nanti,” katanya.
Beliau ditemui pemberita sebaik sahaja tiba bersama pasukannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di Kuching pada Ahad.
Tambahnya, gabungan atlet lama yang mempunyai pengalaman bertanding di SUKMA edisi terdahulu dan atlet baharu bakal menjadi kunci bagi pasukan boling padang Selangor untuk mencipta kemenangan.
Pasukan boling padang Selangor pada SUKMA edisi lepas berjaya meraih emas acara pairs campuran selepas menewaskan Perak 15-8 pada pertemuan acara akhir melalui gandingan Muhammad Haiqal Azami dan Nurshafila Omar
Seramai 704 atlet dan 213 pegawai akan mewakili kontinjen Selangor ke SUKMA yang akan berlangsung pada 17 sehingga 24 Ogos dengan menyasarkan 61 pingat emas dengan acara renang, olahraga, memanah, tenis dan badminton menjadi sandaran utama menyumbang pingat. – TVS