KUCHING, 10 Ogos: Sustainable Borneo dengan kerjasama Ethos Connect bakal mengadakan Persidangan Makanan Lestari Antarabangsa (SFIC) 2024 Sarawak bermula 12 higga 14 Ogos.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan penganjur, persidangan itu bakal menyentuh pelbagai topik menarik serta isu kritikal berkaitan keselamatan makanan.
“SFIC 2024, akan diadakan di wilayah Sarawak yang kaya dengan budaya. Ia merupakan persidangan berprestij tinggi yang didedikasikan untuk memajukan amalan makanan mampan dan memupuk perbincangan mengenai isu kritikal seperti keselamatan makanan dan kemampanan, ekonomi pekeliling dan rantaian bekalan makanan neutral karbon global,” kata kenyataan itu.
Beberapa pakar dan pemain industri ternama bakal dijemput untuk mengulas lanjut mengenai topik berkaitan antaranya Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas E-Spain, Angel Moreton.
Persidangan bakal melibatkan pemain industri seperti pihak swasta, pihak berkepentingan kerajaan, pemain industri, penggubal dasar dan ahli akademik.
Pelbagai pameran melibatkan barangan pengguna segera, makanan dan minuman, seni dan kraf, inovasi makanan dan lain-lain turut diadakan.
Orang ramai yang ingin menyertai persidangan itu boleh mendaftar di sustainableborneo.my. – TVS