JOHOR BAHRU, 4 Ogos — Pengguna dinasihatkan agar memeriksa pelekat pengesahan pada kotak sebelum membeli pelitup muka Neutrovis jenis empat lapis memandangkan terdapat produk pelitup muka tiruan yang didakwa menggunakan jenama itu di pasaran.
Pemilik Maystar Beauty Sdn Bhd, syarikat penaung jenama Neutrovis, Zayn Puah berkata pihaknya menerima aduan daripada pelanggan berkaitan pelitup muka jenama berkenaan hingga mendorong mereka mengadakan siasatan.
Justeru, pihak mereka telah membuat laporan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang akhirnya membawa kepada rampasan pelitup muka tiruan bernilai RM60,000 di Johor Bahru, baru-baru ini.
“Sudah menjadi tanggungjawab kami untuk melaporkannya kepada KPDNHEP. Selain itu, kami juga bertemu peguam dan telah mendapatkan injuksi mahkamah.
“Tindakan ini membolehkan kami bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pengedar pelitup muka palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata untuk mendapatkan kepercayaan pengguna dan menghalang produk tiruan, Neutrovis, sebuah jenama pelitup muka dan produk sanitasi Malaysia, juga telah melampirkan pelekat pengesahan dengan kod QR Unik pada semua produk pelitup muka jenis empat lapis.
Selain itu, pihaknya juga menggunakan media sosial mengenai cara mengenal pasti pelbagai produk palsu yang telah ditemukan serta memberitahu mengenai laman dalam talian yang didapati menjual produk Neutrovis tiruan.
Selain belum menjalani sebarang ujian oleh Medical Device Authority (MDA) dan bahan yang digunakan juga tidak dapat dikenal pasti, pengguna yang membeli pelitup tiruan itu mendakwa mengalami kesukaran bernafas, gelung telinga terlalu kasar dan wajah mereka mula berjerawat ketika menggunakan pelitup muka tiruan terbabit.
— BERNAMA