KUCHING, 8 Ogos: Firma perakaunan profesional, PricewaterhouseCoopers (PwC) berhasrat menjalin kerjasama dengan lebih erat dengan Kerajaan Sarawak.
Perkara itu didedahkan pengerusi eksekutifnya, Nurul A’in Abdul Latif sejurus mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.
“Kami mengadakan perbincangan menarik mengenai beberapa bidang tumpuan di Sarawak, termasuk visi Premier Sarawak tentang kemampanan dan tenaga hidrogen serta semangat tinggi beliau terhadap pendidikan dan kesejahteraan rakyat di wilayah ini.
“Bergerak ke hadapan, kita telah bersetuju untuk berkolaboratif dengan Kerajaan Sarawak dengan lebih banyak pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui TVS selepas kunjungan hormat di Wisma Bapa, pada Khamis.
Nurul A’in mendedahkan PwC telah bekerjasama dengan pelbagai agensi terutamanya Securities and Futures Commission (SFC) sebagai rakan kongsi untuk semua projek yang akan dilaksanakan.
PwC Malaysia merupakan firma antarabangsa yang mempunyai rangkaian firma di tujuh lokasi – Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Melaka, Johor Bahru, Labuan dan Kuching dengan jumlah tenaga kerja lebih 3,000 orang. – TVS



