Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pelajar pengsan selepas hisap rokok elektronik bebas ujian dadah. Foto hiasan Envato

Pelajar pengsan selepas hisap rokok elektronik bebas ujian dadah

ByBernama

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos: Tiada kesan dadah ditemui dalam sampel darah diambil daripada pelajar tingkatan empat yang pengsan setelah diserang sawan dipercayai akibat menghisap rokok elektronik pada 29 Julai lepas.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata pihaknya telah menerima keputusan analisis daripada Jabatan Kimia, Selasa lepas.

Beliau berkata ketika ini pelajar berasal dari Kemaman itu masih dirawat di Hospital Kemaman dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Saya dah terima laporan daripada Jabatan Kimia dan keputusannya negatif. Maknanya tidak ada kesan dadah dalam tubuh pelajar itu dan tidak ada kes yang kita boleh sabitkan kesalahan.

“Pelajar itu masih terima rawatan di hospital dan keadaannya stabil, tetapi ada kalanya dia diserang sawan dan itu tugas doktor untuk kenal pasti punca penyakit,” katanya selepas menyempurnakan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2024 Peringkat Negeri Terengganu di perkarangan Wisma Persekutuan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata pihak polis akan memperketat pemantauan di kedai rokok elektronik bagi membanteras penjualan jenis magic mushroom.

Seterusnya beliau berkata walaupun rampasan dan tangkapan berkaitan kes itu masih kecil dan melibatkan kes terpencil, pihaknya tetap memandang serius dan mempertingkat pemeriksaan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khairi turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak memasang dan mengibar Jalur Gemilang dalam keadaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Saya nasihatkan orang ramai patuhi peraturan lalu lintas. Sambutlah kemerdekaan dalam keadaan berhemah. Sebarang aktiviti di jalan raya perlu dilakukan dengan berhemah supaya tidak menyusahkan orang lain,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan