KUCHING, 8 Ogos: Program ILTIZAM Catalyst yang diperkenalkan oleh Syarikat pelaburan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) sejak 2022 merupakan inisiatif dalam membantu dan memperkasa usahawan Bumiputera.
Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan berkata, Ekuinas menyediakan peruntukan berjumlah RM20 juta setahun bagi menjayakan program tersebut.
Menurutnya, ILTIZAM Catalyst akan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan melengkapkan mereka dengan pemangkin yang diperlukan oleh syarikat tersebut untuk memperkukuhkan asas perniagaan teras berdasarkan empat teras utama ditetapkan.
“Menerusi program ILTIZAM Catalyst ini, kami mahukan usahawan terutama usahawan Bumiputera di Sarawak untuk menyertai program ini.
“Kami bersedia membimbing usahawan Bumiputera yang mempunyai jumlah pendapatan tahunan antara RM300,000 hingga RM1 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media ILTIZAM Catalyst di Kuching pada Khamis.
Tambah Hizwani, pada tahun 2023, Ekuinas menyuntik dana atau mengagihkan peruntukan sejumlah RM13.8 juta menerusi program tersebut yang memberi manfaat kepada 74,000 usahawan, individu, keluarga serta perniagaan di seluruh Malaysia.
Katanya, RM3.3 juta daripada jumlah tersebut digunakan untuk memangkin segmen keusahawanan.
Sementara itu, salah seorang peserta program ILTIZAM Catalyst asal Sabah, Lukman Awaludin, 31, berkata, program tersebut banyak membantu memperkasa perniagaan penghasilan perabot yang dimulakan sebagai pendapatan tambahan ketika negara dilanda pandemik COVID-19 pada tahun 2020.
Mengakui sukar pada peringkat awalnya, Lukman bersyukur kerana program tersebut memberi pendedahan serta ilmu pengetahuan baharu untuk memangkin perniagaannya itu.
“Faham dan tahu apa pengakhiran yang kita mahukan selain menyedari kelemahan syarikat kita sendiri yang boleh diperbaiki. Inilah antara intipati dan dapatan yang kami peroleh apabila menyertai program ini,” katanya.
ILTIZAM Catalyst terbuka kepada PKS Bumiputera yang mana pemohon yang berjaya akan menerima bantuan dan bimbingan menyelesaikan isu seperti kewangan serta pematuhan kewangan, penjenamaan, pemasaran digital, penggunaan digital dan teknologi ke dalam syarikat mereka
Syarikat Bumiputera di Sarawak dan Sabah yang berminat untuk menyertai program ILTIZAM Catalyst untuk sesi terbaharu dinasihatkan menghubungi Ekuinas dan mendaftarkan diri sebelum atau pada 31 Ogos 2024. -TVS



