SIBU, 8 Ogos: Seramai 1,500 peserta dijangka terlibat dalam acara utama sambutan perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2024 di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada 31 Ogos ini.
Menurut Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai, segmen pertama sambutan dimulakan dengan Konsert Ambang Hari Kebangsaan pada 30 Ogos, pukul 8 malam di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang.
Ia diikuti segmen Fun Walk pada keesokan harinya, 31 Ogos, yang dijangka disertai kira-kira 5,000 peserta.
“Tetamu kehormat yang dijangka hadir ialah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Sibu kini bersedia sepenuhnya,” katanya selepas mesyuarat Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2024 bertemakan ‘Jiwa Merdeka’ di sini, hari ini.
Beliau pada masa sama menyeru warga tempatan untuk hadir memeriahkan sambutan serta mengibarkan bendera Jalur Gemilang dan Ibu Pertiwi di premis masing-masing bagi menyemarakkan sambutan tahun ini. – TVS



