KUCHING: Keputusan bagi Pertandingan Reka Bentuk Langit akan diumumkan pada Sabtu ini, jam 10.00 pagi.
Pertandingan seni bina yang julung kali diadakan di Sarawak ini bertujuan untuk mencari idea terbaik bagi sebuah bangunan pencakar langit di pusat bandar raya Kuching.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan menjadi tetamu kehormat pada majlis tersebut di mana beliau juga akan mengumumkan pemenang.
Majlis itu akan distrim secara langsung menerusi berbagai platform media sosial.
Selain itu, arkitek dan orang ramai boleh mengikuti siaran melalui @hslcn dan @unitkomunikasiawamsarawak.
Penganjur pertandingan adalah Hock Seng Lee (HSL), yang berkolaborasi dengan pemilik tanah, Next Phase (NP), dan Pertubuhan Arkitek Malaysia, Cabang Sarawak (PAMSC).
“Ia adalah satu penghormatan yang besar bagi kami kerana YAB Ketua Menteri akan menghadiri majlis pengumuman keputusan,” kata anggota juri pertandingan Yu Ji, yang merupakan wakil pemaju dari HSL-NP.
“Kami menerima 112 penyertaan bagi pertandingan ini. Jumlah arkitek yang berminat untuk mereka-bentuk bangunan pencakar langit di Malaysia Timur amat memeranjatkan dan memberi dorongan kepada kami.”
Hadiah wang tunai bagi pertandingan ini berjumlah RM200,00.
Lokasi Langit merupakan sebuah tapak yang padat namun amat baik sekali di Jalan Tabuan, terletak di antara pusat bersejarah Kuching dengan pusat-pusat komersial yang sudah kukuh.
HSL-NP berhasrat sepenuhnya untuk membina salah satu penyertaan yang menang.
Pertandingan Langit bermula pada Mac lalu dengan penyertaan yang diterima dari seluruh Malaysia.
Ada yang merupakan reka bentuk yang dibuat bersama arkitek di seberang laut.
Panel pemilih terdiri daripada Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) Datuk Ezumi Harzani, bekas pengerusi PAMSC Ivy Jong, pengarah Veritas Architects Lilian Tay, pemenang pelbagai anugerah PAM yang juga aktivis pemuliharaan, Mike Boon, dan Yu Ji.
Kriteria pengadilan tertumpu kepada ruang awam, kemesraan alam dan kebolehlaksanaan.
Dalam maklumat reka bentuk HSL-NP, kawasan lantai dihadkan kepada 30,000 meter persegi, untuk memastikan penyertaan reka bentuk dapat dibina dengan kebesaran yang realistik bagi sebuah bandar raya dengan penduduk tidak sampai sejuta orang.
“Proses memberi mata dan pertimbangan dibuat secara sulit dari awal hingga akhir,” jelas konvenor pertandingan Chai Si Yong, yang merupakan Pengerusi PAM Sarawak.
“Ia adalah penting bagi pemaju-pelanggan bahawa identiti mereka yang mengemukakan penyertaan tidak pernah didedahkan. Pengadilan dibuat berdasarkan idea semata-mata dan dipacu oleh merit. Sebagai konvenor, kami malah tidak memberitahu berapa banyak penyertaan yang dikemukakan oleh arkitek dari dalam mahupun luar Sarawak. Pengumuman keputusan dijangka agak mengujakan bagi golongan profesional di seluruh Malaysia.”
Jong, seorang arkitek dari Sarawak yang terkenal dengan reka bentuk alamnya, berkata pertandingan ini merupakan satu model pembangunan yang menyegarkan.
“Buat pertama kali dalam sejarah, arkitek diberi sebuah tapak oleh sebuah syarikat pemaju yang kukuh dan terkenal dengan permintaan terbuka dan penekanan kepada menyantuni komuniti. Dengan memulakan dialog bersama komuniti yang lebih umum mengenai apa yang dapat dibina di tapak terpilih itu, pemaju telah menunjukkan keinginan mereka untuk membuat bangunan yang dipacu oleh orang awam, sesuatu yang dialu-alukan,” kata Jong.
Majlis mengumumkan keputusan akan diadakan di Menara HSL La Promenade, iaitu komuniti berpagar utama pemaju seluas 200 ekar.
Untuk maklumat lanjut, sila layari langitkch.com, hsl.com.my atau cari #LangitKch dan @hslcn dalam media sosial.