PARIS, 5 Ogos: Dua perenang China, Pan Zhanle dan Zhang Yufei yang menerajui negara itu meraih 12 pingat pada Sukan Olimpik Paris 2024 berjaya mengenepikan kontroversi ujian doping yang melanda pasukan mereka sebelum temasya bermula.
China meraih dua emas, tiga perak dan tujuh gangsa yang meningkat berbanding sembilan yang dimenangi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
China menamatkan saingan di belakang kuasa besar renang dunia, Amerika Syarikat (AS) dan Australia.
New York Times pada April melaporkan 23 perenang China positif bahan terlarang trimetazidine (TMZ) sebelum Sukan Olimpik Tokyo.
China bagaimanapun mendakwa keputusan ujian itu berpunca akibat pencemaran makanan dan penjelasan itu diterima oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA).
Namun pihak berkuasa anti-doping AS ‘tidak berpuas hati’ serta menuduh WADA menutup fakta sebenar skandal berkenaan.
Perenang acara butterfly Zhang yang meraih 10 pingat Olimpik termasuk lima gangsa di Paris dilaporkan antara 23 perenang yang terpalit dengan ujian doping.
Dia mengakui laporan itu memberi tekanan ketika beraksi di Perancis.
“Saya bertanding dengan rakan dari negara yang berbeza (namun) saya sangat bimbang rakan (pesaing) memandang curiga kepada saya dan mereka tidak mahu bersaing dengan saya,” katanya.
Beliau juga bimbang rakyat Perancis menganggap atlet China tidak layak untuk berdiri di pentas Olimpik.
Namun peminat di Arena La Defense memberi penghormatan kepada atlet China.
Berkenaan keraguan beberapa pihak, Zhang menggesa mereka meneliti semula penjelasan kes berkenaan.
“Setiap daripada kami (atlet renang China) diuji (sebanyak) 20 hingga 30 kali dalam tempoh dua bulan.
“Secara purata tiga hingga empat kali seminggu,” katanya sambil menambah tiada perenang yang positif.
Data Akuatik Dunia yang dikeluarkan beberapa hari sebelum temasya menunjukkan perenang China di Paris termasuk 11 daripada 23 yang terlibat dalam skandal doping telah diuji sekurang-kurangnya 10 kali sejak awal tahun ini.
Berdasarkan tambahan ujian yang dijalankan oleh organisasi lain, perenang China secara purata diuji sebanyak 21 kali iaitu jauh lebih banyak berbanding perenang negara lain.
Bagaimanapun ia tidak cukupi untuk menutup mulut pengkritik selepas Pan mencatatkan 46.40 saat sekali gus memecahkan rekod dunia 100 meter gaya bebas milik sendiri.
Perenang berusia 19 tahun itu yang bukan dalam kalangan 23 perenang menyifatkan ia sebagai “saat ajaib”.
Pemenang pingat perak dari Australia Kyle Chalmers berkata, dia yakin perlumbaan itu bersih.
Kemenangan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan jurulatih renang Australia, Brett Hawke.
“Saya telah mempelajari kelajuan. Saya memahaminya. Saya pakar dalam hal itu, itulah yang saya lakukan,” katanya di Instagram. -TVS.