KUCHING: Kadar positif kes COVID-19 di Sarawak pada bulan Julai 2021 menunjukkan penurunan berbanding bulan Jun 2021, menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed.
Katanya, sebanyak 228,084 sampel telah diambil bagi ujian COVID-19 di Sarawak, menjadikan kadar positif kes COVID-19 pada bulan Julai 2021 adalah 5.21 peratus.
“Kadar positif ini merupakan penurunan berbanding 5.97 peratus pada bulan Jun 2021.
“Walaupun kadar positif adalah menurun, bilangan kes yang tinggi masih dikesan terutamanya di bahagian Kuching, Samarahan dan Serian,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, ia merupakan susulan daripada aktiviti pengesanan kes secara aktif melalui saringan kontak kepada kes positif dan saringan bersasar di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Secara purata sebanyak 25 peratus daripada kes harian baru yang dilaporkan pada bulan Julai 2021 melibatkan individu berumur di bawah 18 tahun,” tambahnya.