MARUDI, 3 OGOS: Harapan seorang bapa menemukan anak kecilnya yang hilang sejak Isnin berkecai setelah hanya mayat kanak-kanak berusia empat tahun itu ditemukan.
Mayat Vincent Laing yang berusia empat tahun ditemui orang kampung selepas kurang dari enam jam selepas misi pencarian dilancarkan di Kampung Long Banyok, Ulu Baram
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mayat mangsa ditemukan di tebing sungai tidak jauh dari lokasi mangsa dilaporkan hilang
Menurut bapanya, mangsa dikatakan keluar rumah namun tidak didedahkan tujuannya.
Menyedari ketiadaan anak kecil itu sekitar jam 4 petang isnin, si bapa meminta bantuan orang kampung untuk membuat pencarian di sekitar kawasan hutan dan tebing sungai berdekatan namun tiada sebarang petunjuk ditemui.
Perjalanan ke lokasi menggunakan bot memakan masa dua hingga tiga jam, bergantung kepada keadaan air.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada ahli keluarganya.