Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Mesej fitnah, hina istana, pemimpin, boleh gugat kestabilan negara – Zahidi

KUALA LUMPUR, 3 Ogos — Mesej fitnah dan tidak sahih, terutama berunsur menghina pihak istana dan pemimpin yang boleh mengganggu gugat kestabilan negara hendaklah dihentikan, tegas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

“Ada WhatsApp dan Facebook menghina raja… benda-benda ini kita harap kalau boleh kita tak nak ambil tindakan. Di luar negara, kebanyakan negara kalau hina pemimpin atau istana, contohnya di United Kingdom, dia ‘block’ sebulan… Whatsapp, Facebook dan sebagainya.

“Di Malaysia ini kita terbuka, tetapi janganlah atas sikap terbuka kerajaan ini maka diambil kesempatan. Sebab negara kita hadapi krisis ekonomi… kesedihan rakyat, ekonomi, orang tak boleh bekerja. Kalaulah kita terus mencipta masalah, ketidakstabilan maka kita terpaksa ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada 15 badan bukan kerajaan (NGO) di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Zahidi mengesahkan bahawa surat didakwa daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada perdana menteri berkenaan Ordinan Darurat yang tular di media sosial sejak Jumaat lepas adalah palsu.

“Tidak betul…yang surat pertama itu sah bahawa Yang di-Pertuan Agong dukacita, tapi surat selepas itu ada yang tidak betul dan ditambah-tambah… Sudah ada laporan polis yang dibuat. 

“Ada Ahli Parlimen yang mengeluarkan dokumen palsu, kita ada bukti tetapi kita tidak mahu ambil tindakan tapi kalau nak cabar kerajaan, maka kita terpaksa ambil tindakan. Kita boleh ambil tindakan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Sementara itu, Srikandi Bersatu hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran surat tersebut.

Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Mastura Mohamad yang membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7 di Putrajaya menyifatkan penularan surat itu sebagai tindakan yang amat tidak bertanggungjawab kerana boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat berkaitan hubungan antara pihak istana dan kerajaan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat Srikandi Bersatu itu.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan