KUCHING, 2 Ogos: Penubuhan Jawatankuasa Industri Angkasa dan Satelit (SISCOM) bertujuan mewujudkan ekosistem bagi menyokong pertumbuhan dan penggunaan aplikasi teknologi satelit merentasi pelbagai sektor di wilayah ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata jawatankuasa itu bertanggungjawab membangunkan rangka kerja dasar yang komprehensif bagi merealisasikan aspirasi untuk memiliki dan menguruskan aset teknologi satelit.
“Platform ini dapat menyediakan perkhidmatan komunikasi yang boleh dipercayai dan berkelajuan tinggi serta membolehkan kita meningkatkan operasi perniagaan, akses kepada maklumat dan mencipta peluang baharu dalam inovasi.
“Dengan infrastruktur dan teknologi yang betul, Sarawak akan dapat mencapai status negeri maju menjelang 2030 dan sudah tentu ini adalah selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 serta Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Sarawak 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi taklimat teknologi Satelit oleh Malaysia East Asia Satellite (MEASAT) di sini, pada Jumaat.
Menerusi keterjaminan dalam penggunaan teknologi, menurut Julaihi ia sekali gus akan menarik minat pelabur dan seterusnya dapat meningkatkan sektor ekonomi di Sarawak.
“Justeru, kita perlu memastikan infrastruktur yang sesuai dan relevan disediakan termasuk kepelbagaian teknologi pada masa kini,” jelasnya.
Julaihi meyakini pembangunan teknologi satelit akan membuka jalan yang lebih cerah kepada masa depan rakyat Sarawak dengan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam bidang teknologi.
Selain itu, katanya ketersambungan satelit juga memberi manfaat kepada komuniti pedalaman mengakses perkhidmatan komunikasi, sumber pendidikan dan maklumat penjagaan kesihatan.
Pada masa sama, Julaihi meyakini teknologi satelit turut meningkatkan pemantauan terhadap alam sekitar, pengurusan sumber dan memberi maklum balas dengan pantas sekiranya berlaku bencana sekali gus membolehkan para pakar membuat penilaian menyeluruh. -TVS