MARUDI, 3 OGOS: Sebuah kediaman yang didiami seorang warga emas di Kampung Lubuk Nibong, Marudi musnah sepenuhnya dalam satu insiden kebakaran sekitar jam 8.55 malam Isnin.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihak bomba menggunakan kapal untuk menyeberangi Sungai Baram kerana lokasi kediaman tersebut berada di seberang sungai.
Operasi pemadaman api dilakukan dengan menggunakan sumber air terbuka iaitu air sungai.
“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan kebakaran tersebut menyebabkan kediaman wanita 70 tahun itu musnah 100 peratus,” katanya.
Bagaimanapun wanita tersebut berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.