Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Dr Annuar Rapaee menerima cenderamata disampaikan Presiden Pertubuhan Aspirasi Guru Sarawak Mutalib Kasim. Foto TVS

Guru disaran manfaat teknologi dan pendekatan pengajaran moden

SIBU, 27 Julai: Guru muda disaran manfaatkan penggunaan teknologi dan pendekatan pengajaran yang moden untuk menarik minat pelajar dan menjadikan proses pembelajaran lebih menarik dan interaktif.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dalam era teknologi yang pesat berkembang, adalah penting bagi guru-guru muda untuk sentiasa bersikap kreatif dan inovatif dalam pengajaran.

“Saya mengharapkan guru-guru muda sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti diri dengan melanjutkan pelajaran, menghadiri kursus dan terlibat dalam program pembangunan profesionalisme.

”Pendidikan adalah bidang yang sentiasa berkembang dan adalah penting untuk terus memperbaharui pengetahuan dan kemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Menteri Pendidikan Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee pada majlis perasmian Persidangan Guru Muda Sarawak 2024 di sini, hari ini.

Abang Johari berkata dalam menghadapi cabaran dunia pendidikan yang semakin kompleks dan dinamik, adalah penting untuk terus memperkasakan kompetensi guru-guru.

Beliau percaya penganjuran persidangan seperti itu adalah platform yang terbaik untuk bertukar-tukar idea, berkongsi pengalaman dan merancang strategi yang lebih efektif dalam mendidik anak-anak bangsa.

“Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam menyokong inisiatif-inisiatif yang dapat meningkatkan kualiti pendidikan.

“Kita akan terus memastikan guru-guru di negeri ini mendapat latihan dan sokongan yang secukupnya untuk menjalankan tugas mereka dengan cemerlang.

”Selain itu, kita juga akan mempergiatkan usaha untuk menyediakan prasarana pendidikan yang terbaik bagi manfaat semua pelajar di Sarawak,“ ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan beberapa harapan khusus kepada semua peserta PGMS dan guru-guru muda Sarawak secara keseluruhannya.

Antaranya ialah memertabatkan bahasa Inggeris, peningkatan dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), transformasi digital dan Kecerdasan Buatan (AI).

Sementara itu, Dr Annuar berkata lebih 60 peratus guru di Sarawak berumur 40 tahun ke bawah dan yang berumur 45 tahun kemungkinan mencecah 70 peratus.

“Ini bermaksud majoriti daripada 40,000 lebih guru di Sarawak adalah berusia di bawah 45 tahun yang didefinisikan sebagai belia atau muda,” katanya.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan