KUCHING, 26 Julai: Taman Negara Loagan Bunut di Miri telah dicadangkan sebagai Tapak Ramsar yang baharu sebagai satu inisiatif memelihara dan melindungi kawasan-kawasan hutan paya laut di dalam negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata cadangan itu adalah bagi mengimbangi keperluan pembangunan dan pemeliharaan kawasan hijau di Sarawak.
“Dalam mengimbangi keperluan pembangunan, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memelihara dan melindungi kawasan-kawasan hutan paya laut di Sarawak.
“Di Sarawak, satu kawasan telah diisytihar sebagai kawasan Tapak Ramsar yang kelima negara iaitu Taman Negara Kuching Wetland dengan keluasan 6610 hektar pada tahun 2005,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato Sri Huang Tiong Sii.
Secara keseluruhannya, Sarawak mempunyai 67 Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPA) dengan keluasan keseluruhan 2,118,249 hektar dan 118 Hutan Simpan Kekal (PFE) dengan jumlah keluasan 3,960,381 hektar.
Di samping itu, Jabatan Hutan Sarawak mencadangkan 31 kawasan sebagai PFE baru yang dijangka melibatkan kawasan seluas 814,437 hektar.
Bagi kawasan hutan paya laut, setakat ini, Sarawak mewartakan 12,950 hektar iaitu 19 peratus daripada keseluruhan keluasan hutan paya laut di Sarawak sebagai TPA, manakala 11,084 hektar atau 16 peratus daripada keseluruhan keluasan hutan paya laut di Sarawak diwartakan sebagai PFE. – TVS