KUCHING, 25 Julai: Tiga rumah di Kampung Bako di sini musnah dalam kebakaran awal pagi ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sarawak yang menerima panggilan pada 1.58 pagi, menerusi jurucakapnya berkata rumah-rumah itu didiami 16 penghuni.
“Kesemua penghuni dilaporkan selamat,” katanya menerusi kenyataan.
Sebuah rumah didiami 14 penghuni, satu lagi dihuni dua warga pasangan warga emas manakala sebuah rumah lagi tiada penghuni.
Empat motosikal turut terbakar dalam kebakaran itu.
Sejurus menerima panggilan, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya digerakkan ke lokasi.
“Kerja-kerja pemadaman dilakukan bersama Pasukan Bomba Sukarela Kampung Bako,” katanya.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.