KUCHING, 24 Julai: Kerajaan Sarawak yang diwakili Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan National University Corporation Kyushu University dari Jepun untuk bekerjasama dua hala dalam aktiviti penyelidikan hutan.
MoU tersebut turut melibatkan inisiatif dalam penilaian fungsi ekosistem hutan di bawah Inisiatif Karbon Hutan di Sarawak.
Menurut Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad, MoU yang dimeterai tersebut adalah untuk mengukuhkan, memperkenalkan dan membangunkan kerjasama dua hala berdasarkan kesaksamaan serta faedah untuk kedua-dua pihak.
“Perkongsian ini menggariskan komitmen bersama kami untuk menangani cabaran alam sekitar global melalui penyelidikan hutan, pendidikan dan amalan kelestarian,” katanya ketika Upacara Pemeteraian MoU antara Kerajaan Sarawak dan National University Corporation Kyushu Universiti di Fukuoka, Jepun, pada Selasa.
Dalam satu kenyataan, JHS turut memaklumkan pemeteraian MoU tersebut bagi memudahkan perkongsian pengetahuan dan kemahiran melalui pembangunan modal insan, program-program latihan pegawai, pertukaran pelajar, penganalisisan data bersama, pemerkasaan kemahiran penyelidikan saintifik dan penerbitan penemuan serta mana-mana bidang kerjasama lain yang dipersetujui oleh pihak yang berkaitan.
Sementara itu, Dekan Universiti Kyushu, Profesor Dr. Miki Nakao meyakini bahawa kerjasama yang terjalin di antara kedua-dua pihak akan menyumbang secara signifikan kepada inisiatif karbon hutan Sarawak.
“Sebagai sebuah universiti, pihak kami komited untuk menyokong dasar kerajaan dengan sumber maklumat kukuh yang berasaskan saintifik dan saya percaya bahawa kerjasama kami dengan Kerajaan Sarawak akan menyumbang secara signifikan kepada inisiatif ini,” ujarnya.
Terdahulu, terdapat enam kertas kerja dibentangkan dalam simposium yang dianjurkan National University Corporation Kyushu University, yang menyentuh tentang dasar perhutanan dan tadbir urus baik Kerajaan Sarawak dalam sektor perhutanan serta Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 berkaitan kelestarian hutan di peringkat antarabangsa. – TVS