Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Ramanan Ramakrishnan pada Majlis Perasmian Program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2024 di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini. Foto TVS

Bank Rakyat peruntuk RM3.82 juta perkasa usahawan asnaf

KUALA LUMPUR, 23 Julai: Bank Rakyat memperuntukkan RM3.82 juta untuk program RAKYATpreneur 5.0 dan Bank Rakyat UNIpreneur 4.0 bagi memperkasakan 800 usahawan asnaf berpotensi.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan mengalu-alukan inisiatif ini kerana ia dapat meningkatkan kesejahteraan sosial dan memenuhi keperluan ekonomi, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) untuk mencapai sasaran sifar kemiskinan.

Beliau berharap agar peserta program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur terus menjalankan peranan mereka dalam menerokai peluang jualan di komuniti setempat dan menyertai program keusahawanan yang disediakan oleh agensi dan kerajaan.

“Saya berharap agar kesinambungan kedua-dua program pembangunan ini dapat mencapai objektifnya dan membantu lebih ramai lagi usahawan asnaf. Ini penting untuk memastikan pembangunan ekonomi golongan ini sejajar dengan nilai Malaysia Madani.

“Saya mengucapkan penghargaan kepada program seperti RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur kerana menyokong perkembangan usahawan berpotensi dan pelajar asnaf dalam membina perniagaan yang mampan melalui bantuan kewangan, modul latihan, dan panduan holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur 2024 di sini, hari ini.

Menurutnya, RAKYATpreneur 4.0 yang melibatkan 300 usahawan, menunjukkan prestasi positif dengan 63 peratus atau 189 peserta mencatatkan peningkatan jualan sepanjang tempoh enam bulan program berlangsung.

Sebanyak 69 peratus atau 208 peserta telah mula menjana simpanan dari hasil jualan mereka, manakala 62 peratus atau 187 peserta menyediakan peluang pekerjaan kepada komuniti tempatan.

“Di sisi lain, Bank Rakyat UNIpreneur 3.0 memberi tumpuan kepada pemerkasaan kewangan yakni 90 peratus atau 451 peserta menjana simpanan bulanan. Sebanyak 53.8 peratus atau 269 peserta menjalankan perniagaan dalam talian, manakala 67 peratus atau 335 peserta menggunakan transaksi digital,” katanya.

Peserta RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIpreneur sentiasa diberi peluang untuk terlibat dalam pelbagai program keusahawanan yang disediakan oleh agensi dan kerajaan.

Pada masa yang sama, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata kedua-dua program ini menyokong inisiatif iTEKAD oleh Bank Negara Malaysia yang membolehkan usahawan mikro mendapat akses kepada pembiayaan untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

“Melalui inisiatif ini, Bank Rakyat telah berjaya meningkatkan kebolehan usahawan dan pelajar asnaf, mengenal pasti dan memanfaatkan peluang untuk kekal relevan dalam pasaran,” katanya.

Program RAKYATpreneur 5.0 dan Bank Rakyat UNIpreneur 4.0 terus menjadi pendorong utama dalam memajukan keusahawanan asnaf, menawarkan pelbagai bantuan termasuk dana pembiayaan, modul latihan, dan sokongan holistik bagi memperkasa usahawan kecil dan sederhana yang berpotensi di seluruh negara. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan