SUBANG, 1 Julai: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia bakal menawarkan penerbangan ke Kuching dan Kota Kinabalu dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) bermula 30 Ogos ini.
Pengarah Urusan AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata tawaran penerbangan itu menjadi antara pencapaian penting dalam sejarah AirAsia setelah 23 tahun tidak beroperasi di lapangan terbang itu.
Menurutnya, pelaksanaan semula operasi di lapangan terbang yang turut dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang memperkukuh kedudukan AirAsia sebagai syarikat penerbangan terbesar di Malaysia.
“Buat masa ini kami diberi kebenaran untuk dua destinasi iaitu Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.
“Keputusan untuk kembali beroperasi di Lapangan Terbang Subang sebagai lapangan terbang kedua di Kuala Lumpur didorong oleh beberapa faktor seperti lokasi lapangan terbang yang berdekatan dengan pusat bandar menawarkan pengalaman perjalanan lebih mudah untuk tetamu di kawasan setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Perasmian Operasi AirAsia di LTSAAS, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A serta Penasihat AirAsia Aviation Group, Tan Sri Tony Fernandes.
Sementara itu, dengan pengoperasian semula di lapangan tersebut, rangkaian domestik AirAsia dijangka akan meningkat daripada 920 penerbangan mingguan kepada 948 penerbangan mingguan dengan 40 laluan.
Beliau berkata pihaknya optimis dalam menjadikan Subang sebagai hab keenamnya bagi memperkukuh rangkaian, selain menawarkan lebih banyak destinasi kepada pelanggan.
“Operasi tambahan ini dijangka mendorong fasa pertumbuhan AirAsia bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh rantau ini.
“Kami berharap untuk menambah lebih banyak laluan dari Subang, terutamanya laluan antarabangsa yang kini dalam perancangan dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa,” katanya. -TVS