Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Persediaan para pemain beregu badminton negara untuk mengharungi kempen Sukan Olimpik 2024 kini sudah memasuki ‘gear lima’ sekali gus semakin bersemangat menjelmakan kilauan pingat di Paris. Foto Bernama

Sukan Olimpik: Pemain beregu negara sudah masuk ‘gear lima’, makin bersemangat buru pingat

ByBernama

KUALA LUMPUR, 22 Julai: Persediaan para pemain beregu badminton negara untuk mengharungi kempen Sukan Olimpik 2024 kini sudah memasuki ‘gear lima’ sekali gus semakin bersemangat menjelmakan kilauan pingat di Paris.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata juara beregu lelaki dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ternyata teruja untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2024 susulan menjalani latihan fasa akhir selama seminggu di Lille, kira-kira 219 kilometer (km) dari Paris.

“Secara teknikalnya, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran kita sudah melakukan persiapan yang cukup baik sejak menjalani kem latihan diadakan di sini (Lille) pada Ahad lepas.

“Sehinggalah hari terakhir (semalam), mereka telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan semangat luar biasa ketika latihan. Itu satu petanda positif menjelang Olimpik Paris,” katanya dalam satu kenyataan.

Biarpun Aaron-Wooi Yik menjalani persiapan yang cukup signifikan, Rexy berkata masih terdapat beberapa elemen yang perlu diperbaiki pemenang gangsa Tokyo 2020, terutamanya cara menangani tekanan dialami mereka berdua.

Rexy pada masa sama sedang menumpukan cara mengelakkan Pearly dari mengalami kecederaan selain berharap Ee Wei yang kini berada dalam kondisi terbaiknya dapat mengawal apa jua situasi apabila turun ke gelanggang nanti.

Sementara itu, pakar beregu dari Indonesia itu berterima kasih kepada semua pihak terlibat termasuk Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin, Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan Persatuan Badminton Malaysia di atas sokongan diberikan kepada skuad badminton negara.

Beliau juga optimis kata-kata semangat oleh Hamidin yang mengunjungi skuad badminton negara di Lille juga membakar semangat setiap pemain untuk berjuang pada Paris 2024.

Selain tiga wakil beregu tersebut, skuad badminton Malaysia turut dibarisi dua pemain perseorangan profesional Lee Zii Jia (lelaki) dan Goh Jin Wei (wanita) pada Sukan Olimpik 2024.

Acara badminton yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena dijadual bermula pada 27 Julai hingga 5 Ogos ini.

Sukan Olimpik 2024 akan dibuka secara rasmi Jumaat ini dan berakhir 11 Ogos. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan