KUALA LUMPUR, 22 Julai: Kerajaan akan menerbitkan satu laporan khas berkenaan impak penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi hijau terhadap sektor pekerjaan pada September ini, kata Steven Sim Chee Keong.
Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, penerbitan berkenaan merupakan yang pertama dengan melibatkan sepuluh sektor strategik.
Jelas Steven Sim, selain AI kerajaan juga menyedari dasar ekonomi hijau serta alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) juga memberi kesan ke atas syarikat tempatan dan pasaran pelaburan di negara ini.
“Ini secara langsung akan menyebabkan kesan ke atas pasaran kerja.
“(Kesemua) sepuluh sektor strategik itu melibatkan 4.6 juta pekerjaan,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Hussin Ismail yang ingin mengetahui strategi kementerian berhubung isu pengangguran disebabkan AI.
Sementara itu Stevem Sim menambah, kerajaan dan pembuat dasar juga akan mempunyai keterlihatan berhubung penggunaan teknologi ini.
“Dengan adanya laporan berasaskan ‘data driven’, (serta) dipandu oleh industri, maka kerajaan dan pembuat dasar termasuk sektor swasta dan orang awam akan mempunyai satu keterlihatan untuk melihat kepada apa yang akan berlaku sekiranya pembangunan kemajuan dan isu teknologi serta isu ekonomi pada abad ke-21 ini dimasukkan dalam ekonomi Malaysia,” katanya lagi. -TVS.