KUALA LUMPUR, 22 Julai: Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah menyifatkan pelantikan beliau sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara pada hari ini sebagai sangat istimewa kerana jatuh pada Hari Sarawak.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata, pada tanggal 22 Julai Sarawak bebas daripada belenggu kolonisme dan memulakan pemerintahan sendiri.
Yang di-Pertua Dewan Negara ke-21 itu menambah, seterusnya pada tanggal 16 September 1963, Sarawak bersama Sabah dan Persekutuan Tanah Melayu bersetuju untuk menubuhkan Persekutuan Malaysia di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Bagi pihak Dewan Negara, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Sarawak kepada semua warga Sarawak dan kita doakan agar (wilayah itu) terus maju dan makmur.
“Dengan izin, jaku Iban, ulih mimit – mimit, terima kasih mayuh – mayuh (cakap Iban dapat sikit-sikit, terima kasih banyak),” katanya selepas mengangkat sumpah jawatan berkenaan hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkan Awang Bemee sebagai calon tunggal untuk dilantik ke jawatan berkenaan dan disokong oleh Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed kemudian memasyurkan Awang Bemee sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara.
Awang Bemee yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 15 Julai lepas turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di atas restu pencalonan beliau sebagai senator serta mengusulkan kepada Perdana Menteri agar dicalonkan sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara.
“Terima kasih (juga) kepada semua ahli – ahli Dewan Negara kerana tidak mengusul nama lain,” katanya.
Awang Bemee turut berikrar mahu meneruskan legasi transformasi yang dilaksankanakan oleh bekas Yang di- Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal.
“Saya akan menunaikan kewajipan dengan jujur demi kemajuan dan kemakmuran Malaysia tercinta,”katanya.
Beliau turut meminta Ahli Dewan Negara memberi sumbangan yang cemerlang di wilayah atau negeri bagi mencapai keunggulan dalam perdagangan, perindustrian, pertanian, kebudayaan dan perkhidmatan sosial.
Jawatan berkenaan sebelum ini kosong selepas Mutang meninggal dunia pada 10 Mei lepas di Institut Jantung Negara.
Sidang dewan turut bertafakur seminit bagi memperingati Mutang.
Awang Bemee menjadi rakyat Sarawak yang keempat memegang jawatan berkenaan selepas Tan Sri Datuk Amar Abang Ahmad Urai Abang Muhideen (1988-1990), Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (19 Jun 2023 – 19 Januari 2024) dan Mutang (19 Februari 2024 – 10 Mei 2024). -TVS.