BINTULU, 22 Julai: Kompleks Metanol Sarawak yang berupaya menghasilkan 1.75 juta tan metrik metanol setahun merupakan satu lagi pelaburan utama di wilayah ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Projek metanol ini merupakan enam projek pemangkin pertama yang bertujuan untuk memperkukuh sektor pembuatan dan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak,” katanya ketika merasmikan Kompleks Metanol Sarawak, Tanjung Kidurong, di sini hari ini.

Beliau pada masa sama berharap projek H2ornbill dan H2biscus di Bintulu juga akan terus memperkukuh sektor pembuatan Sarawak.
“Saya mempunyai harapan yang tinggi untuk kedua-dua projek ini dapat direalisasikan sebelum 2030,” tambahnya.
Dalam majlis sama, Abang Johari turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MOU) antara Sarawak Petchem dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
“Selain bekalan gas yang diperuntuk untuk Projek Loji Metanol Sarawak, PETROS akan membekalkan satu lagi 160 MMSCFD gas asli baharu kepada Sarawak Petchem yang merupakan sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Gas Sarawak untuk Projek Loji Ammonia dan Urea Rendah Karbon baharu,” katanya lagi.
Buat masa ini, Sarawak Petchem juga sedang meneroka peluang lain sebagai sebahagian daripada strategi untuk mempelbagaikan portfolio mereka dan menjadikan penggunaan tenaga hijau menjadi kenyataan.
Selain itu, Sarawak kini mempromosikan penyelesaian karbon rendah dan juga komited untuk mempercepat peralihan kepada ekonomi hijau bernilai tinggi seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
“Dengan pelbagai projek perdana berbilion ringgit di Bintulu, Sarawak berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab tenaga hijau serantau.
“Ini akan memacu aktiviti ekonomi pesat yang akan membuka lebih banyak usaha niaga menguntungkan,” ujarnya.