BINTULU, 20 Julai: Kepelbagaian kaum di Sarawak ibarat susun suai gambar yang menarik, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Katanya, sebagai sebuah wilayah yang mempunyai 27 kumpulan etnik adalah penting untuk Sarawak mengekalkan perpaduan dan solidariti.
“Tanpa kedua-duanya, Sarawak tidak akan pernah bergerak dan maju dałam tempoh 61 tahun lalu dengan apa yang kita lihat dan nikmati hari ini.
“Gabungan Party Sarawak (GPS) amat komited untuk memupuk persefahaman bersama dalam kalangan masyarakat pelbagai budaya dan agama di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain bersempena sambutan Perayaan Hari Sarawak 2024 yang diadakan di Dewan Suarah Bintulu, hari ini.
Dalam pada itu katanya, Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang dilancarkan pada 22 Julai 2021 yang menonjolkan nilai keterangkuman sosial sebagai salah satu faktor penentu utama untuk mengukur indeks perpaduan dan toleransi kaum dan agama di Sarawak.
“Semasa COVID-19 Premier Sarawak dan barisan kepimpinan yang lain terus memikirkan sesuatu langkah untuk dilaksanakan di Sarawak. Malah kami turut memikirkan apa yang harus dilakukan untuk tahun mendatang.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sarawak kerana dengan perpaduan ini, Sarawak mempunyai bilangan kematian yang terendah akibat COVID-19,” ujarnya lagi. – TVS