KUALA LUMPUR, 18 Julai: Rang Undang-Undang (RUU) Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 yang diluluskan hari ini membolehkan individu terlibat menyalahgunakan bahan dan dadah mendapatkan rawatan secara sukarela.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perkara itu merupakan antara elemen utama dalam pindaan berkenaan.
Jelas beliau, sebelum ini hukuman penjara akan dikenakan terhadap kesalahan penyalahgunaan dadah.
“Kali ini, kita (kerajaan) bagi rawatan dan pemulihan (yang akan dilaksanakan oleh) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di pusat pemulihan sedia ada (selain) pusat pemulihan dadah persendirian,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Terdahulu, pindaan berkenaan bagi membezakan tafsiran di antara penagih dadah atau bahan dengan penyalah guna dadah atau bahan, selain meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih diluluskan di Dewan Rakyat, hari ini selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Saifuddin Nasution menambah kelulusan akta juga akan menggalakan penagih tampil ke AADK secara sukarela untuk ditempatkan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) bagi menerima rawatan dan pemulihan.
“Selain itu, kelulusan akta ini turut menaikkan status pegawai pemulihan (kerana) mempunyai kuasa untuk memberi perakuan terhadap client.
“Sebelum ini, hanya satu pegawai perubatan (yang dapat) memberi perakuan, tetapi sekarang kita bagi kuasa pegawai pemulihan, client tampil secara sukarela, pegawai ini memperaku mereka layak ditempatkan untuk pemulihan,” jelasnya. -TVS.