KUCHING, 18 Julai: Pembinaan jambatan ikonik Sungai Bintangor di Jalan Datuk Ajibah Abol dan kerja menaik taraf serta pembesaran Jalan Matang antara projek yang dikategorikan mengalami kelewatan kritikal di Bahagian Kuching.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur) Datuk Aidel Lariwoo berkata, ia susulan terdapat beberapa masalah teknikal seperti pengalihan utiliti yang dihadapi di tapak-tapak terbabit.
“Projek jambatan Sungai Bintangor telah mengalami kelewatan yang begitu lama sekali dengan fizikal kemajuan projek ialah 63.04 peratus berbanding jadual (69.68 peratus), faktor utama kelewatannya adalah pengalihan utiliti di tapak ini.
“819 hari tempoh lanjutan sudah diluluskan untuk projek ini, iaitu 12 permohonan daripada pihak pemaju dan kami difahamkan setakat ini masalah teknikal ini telah diselesaikan. Diharapkan pihak kontraktor selepas ini dapat menyambung kerja dengan lebih lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimat dan lawatan kerja kemajuan pembangunan infrastruktur di bilik mesyuarat Jabatan Kerja Raya (JKR) di Batu Lintang, di sini hari ini.
Ujar beliau, projek yang bernilai RM50.6 juta itu dijangka siap pada April 2025 setelah mengambil kira tempoh lanjutan masa yang diberi.
Sebelum ini projek pembinaan jambatan berkenaan tertangguh kerana pandemik COVID-19, selain kekurangan bahan dan faktor lain.
Dalam pada itu, Aidel mendedahkan kemajuan projek naik taraf Jalan Matang Baru Fasa 2 menuju ke Jalan Batu Kawa-Matang, dijangka siap pada Julai 2025.
“Jalan Matang Baru Fasa 2 ini antara projek yang ditamatkan kontrak kerana prestasi kontraktor yang kurang memuaskan. Kami tamatkannya bila fizikal kemajuan projek pada dua peratus, kemudian diganti dengan kontraktor penyelamat baharu.
“Setakat akhir Jun lepas, kemajuan projek 27.57 peratus siap berbanding 29 peratus seperti dijadualkan. Ia mengalami sedikit kelewatan sebanyak 1.43 peratus, namun dijangka dapat siap menjelang Julai tahun depan,” ujarnya.
Beliau mendedahkan cabaran utama dalam menaik taraf jalan dua lorong kepada empat lorong itu melibatkan kerja-kerja mengalih kabel elektrik dan saluran paip air.
Tambah Aidel, kementeriannya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) terus memantau ketat pelaksanaan dan perkembangan pembinaan jambatan-jambatan utama di wilayah ini. -TVS