KUALA LUMPUR, 18 Julai: Dewan Rakyat dimaklumkan kutipan cukai menyumbang sebanyak RM229 bilion atau 72.8 peratus hasil kerajaan pada tahun lepas.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, jumlah itu mewakili sebanyak 72.8 peratus daripada hasil keseluruhan kerajaan sebanyak RM315 billion.
Beliau turut memaklumkan, pemberian subsidi, insentif dan bantuan kerajaan pula adalah sekitar RM80 bilion atau 19.7 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan RM406 bilion.
“Ini jelas menunjukkan bahawa kedua-dua komponen ini mempunyai hubung kait yang signifikan dengan kedudukan fiskal negara.
“Oleh yang demikian, adalah wajar perubahan dasar fiskal Malaysia memberi tumpuan kepada kedua-dua ini terlebih dahulu bagi mengambil peluang akan kedudukan fiskal negara yang stabil pada masa ini,” katanya pada Pertanyaan – Pertanyaan Menteri di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Kamal Ashaari (Perikatan Nasional – Kuala Krau) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan usaha kerajaan untuk meningkatkanhasil selain melalui pungutan cukai dan pelaksanaan subsidi bersasar.
Sementara itu beliau turut menjelaskan penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun lepas dijangka memberikan penjimatan RM4 bilion setahun kepada kerajaan.
“(Ini) sekali gus mencapai objektif yang ditetapkan antaranya memperkukuh fiskal negara serta mengurangkan ketirisan bantuan kerajaan,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan telah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang dijangka dapat mengukuhkan tadbir urus dan disiplin fiskal negara.
Berhubung sama ada kerajaan akan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Hui Ying berkata, kerajaan belum berhasrat untuk berbuat demikian.
“Ini kerana SST mampu memberikan kesan fiskal yang lebih cepat berbanding pelaksanaan GST.
“Tambahan pula laluan diberikan untuk pelaksanaan rasionalisasi subsidi pada tahun ini (namun) pelaksanaan GST akan dipertimbangkan apabila terdapat persekitaran ekonomi yang bersesuaian terutama mengambilkira aspek kesan inflasi daripada rasionalisasi subsidi,” katanya. -TVS.