KUCHING, 18 Julai: Jadikan pengalaman menjadi urusetia media semasa penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 sebagai persediaan awal jika Sarawak dipilih menjadi lokasi penganjuran Sukan SEA 2027.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol yang berkata demikian, menambah agensi dan jabatan kerajaan yang mengurus pusat media wajar menimba pengalaman sebanyak mungkin.
“Jika Sarawak dipilih untuk menganjur Sukan SEA 2027, pengalaman yang diperolehi menerusi SUKMA adalah elemen yang amat berharga bagi menambah baik kualiti pengurusan pusat media.
“Apatah lagi Sukan SEA akan membabitkan wartawan dari negara lain untuk berkampung di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat Jawatankuasa Promosi Media, Publisiti, Seranta, Siaraya, Pencetakan dan Kewartawanan SUKMA 2024 di sini pada Rabu.
Antara yang hadir, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak Samuel Simon dan Ketua Pegawai Eksekutif TVS Kushairi Abang.
Abdullah berkata lagi, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berpesan agar mutu perkhidmatan internet berada pada tahap terbaik.
Ini bagi memastikan tidak timbul aduan tentang liputan telekomunikasi kurang memuaskan daripada pihak terlibat dengan temasya sukan itu terutama di lokasi penganjuran.
Dalam pada itu, beliau mengesyorkan wartawan melaporkan aktiviti-aktiviti lain dianjurkan di setiap sembilan bahagian yang dijadikan lokasi penganjuran SUKMA.
“Sebab itu Premier mahu acara-acara sukan dipertandingkan dalam SUKMA pada kali ini diadakan di beberapa bahagian lain di Sarawak
“Jika diperhatikan, kesemua sembilan bahagian yang dipilih di Sarawak mewakili semua masyarakat dari pelbagai etnik,” katanya.
Justeru, warga media diseru mengambil peluang untuk turut menceritakan keunikan budaya setiap etnik di Sarawak.
SUKMA adalah sukan yang disertai atlet-atlet muda mewakili setiap negeri di Malaysia.
“Sarawak sebagai tuan akan mengambil kesempatan ini untuk bukan sahaja mempamer layanan kemesraan yang terbaik kepada semua tetamu dari luar Sarawak, malah turut menyemai dan pemahaman sebenar tentang wajah Sarawak dari aspek perpaduan, keakraban, budaya dan keunikan makanan,” jelasnya.
SUKMA bukan hanya dianggap sebagai karnival pertandingan sukan, ia juga akan melibatkan banyak acara sampingan di luar gelanggang yakni para peniaga dan usahawan akan mengambil kesempatan bukan sahaja menjual pelbagai jenis makanan tetapi juga kraf tangan tempatan.
“Mungkin juga di kebanyakan lokasi akan diadakan persembahan pentas dan hiburan.
“Saya mencadangkan supaya diadakan aktiviti sampingan diadakan di pekan atau kawasan yang jauh dari lokasi atau gelanggang sukan SUKMA supaya suasana kemeriahan temasya sukan turut dirasai oleh masyarakat di kawasan luar bandar,” katanya. -TVS