KUALA LUMPUR, 17 Julai: Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sejarah tercipta buat Sarawak susulan kelulusan tanpa pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Pengisytiharan suatu Kawasan dalam Daerah Bintulu menjadi suatu Pelabuhan Persekutuan (Pemansuhan) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu membuktikan kerjasama erat membabitkan Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak di bawah semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Kata Fadillah, ia diterjemahkan oleh Kerajaan Perpaduan yang menyaksikan RUU berkenaan diluluskan dengan sokongan semua Ahli Parlimen.
“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan seluruh rakan kabinet yang beri persetujuan berhubung hasrat Kerajaan Sarawak untuk mengendalikan keseluruhan pelabuhan di Sarawak termasuk Pelabuhan Bintulu.
“Ini sesuai dengan peruntukan di bawah MA63, Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sarawak,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Rang Undang-Undang (RUU) dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini.
Usul berkenaan diluluskan setelah dibahasakan oleh Ahli Sri Aman, Saratok, Selangau, Lubok Antu, Batang Lupar, Baram dan Puncak Borneo.
Sementara itu Fadillah berkata, beliau juga berterima kasih kepada Anthony dan pasukannya di Kementerian Pengangkutan.
“Pada masa sama, saya juga ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Emas serta mereka yang terlibat secara khusus dalam perundingan.
“Ini juga termasuk keputusan dasar dan segala perundingan secara terperinci berhubung apa yang dipersetujui,” tambah beliau. -TVS.