Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerbitkan Polisi Pengawasan Pelaburan Mampan KWSP. Foto fail Bernama.

KWSP perkukuh pelaburan mampan dengan polisi pengawasan baharu

ByBernama

KUALA LUMPUR, 17 Julai: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerbitkan Polisi Pengawasan Pelaburan Mampan KWSP sekali gus menjadi pelabur institusi pertama di Malaysia yang menerbitkan polisi pengawasan kendiri untuk pelaburan mampan.

Menurut kenyataan pada Rabu, KWSP menjelaskan polisi itu menetapkan proses dan garis panduan yang dipatuhi pihaknya untuk menggalakkan amalan kemampanan yang baik dalam kalangan syarikat penerima pelaburan dan pengurus dana luaran.

KWSP menambah langkah pengawasan itu mengukuhkan komitmen pihaknya dalam membantu membina masa depan persaraan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia dengan memberikan nilai mampan jangka masa panjang.

“Ini sejajar dengan Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang mentakrifkan pengawasan sebagai pelabur institusi yang menggunakan pengaruh mereka untuk memaksimumkan nilai jangka panjang keseluruhan, merangkumi aset ekonomi, sosial dan alam sekitar yang penting untuk pulangan dan kepentingan pelanggan dan benefisiari,” menurut KWSP.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata pihaknya komited untuk menerajui prinsip pelaburan mampan dengan mempromosikan dan menanam amalan perniagaan baik secara sistematik yang menerapkan faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam semua keputusan pelaburan.

“Komitmen pengawasan ini mempercepat kemajuan KWSP ke arah mencapai portfolio patuh ESG sepenuhnya menjelang 2030 dan portfolio neutral iklim menjelang 2050.

“Kami menyasar untuk memperkasakan syarikat penerima pelaburan dan pengurus dana luaran kami untuk menjana impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar, mengekalkan kepentingan terbaik bagi semua semua pihak berkepentingan di samping memaksimumkan pulangan daripada risiko terlaras peringkat portfolio,” katanya dalam kenyataan yang sama.

KWSP menjelaskan sebagai pelabur institusi terbesar di Malaysia, pihaknya mengambil peranan kepimpinan untuk mempengaruhi pelaksanaan amalan kemampanan yang baik dalam pasaran modal Malaysia, sama ada secara sendiri atau kerjasama melalui platform seperti Majlis Pelabur Institusi Malaysia.

Polisi Pengawasan Pelaburan Mampan KWSP merangkumi pendekatan terhadap bidang pengawasan utama seperti pemantauan, penglibatan dan pilihan peningkatan dalam usaha untuk menyelaraskan syarikat dengan polisi pelaburan mampannya dan menambah baik pengurusan risiko dan peluang penting berkaitan ESG.

Falsafah pengawasan KWSP tertumpu pada empat aktiviti utama iaitu pemilihan proksi, pemantauan, penglibatan aktif dan inisiatif kerjasama, tambah KWSP. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan