KUALA LUMPUR, 16 Julai: Jalan perhubungan membabitkan Lawas dengan Temburong, Brunei yang dalam keadaan daif namun tidak dapat diselenggara adalah kerana ia melibatkan isu kedaulatan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sehubungan itu Kerajaan Malaysia akan terus mengadakan rundingan dengan Brunei bagi menyelesaikan perkara berkenaan.
Namun jelas beliau, sebarang pemeteraian perjanjian persempadanan yang melibatkan maritim atau darat hanya akan diteruskan setelah mengambil kira perkara yang tidak menyentuh sensitiviti dan negeri.
“Sama ada sempadan darat atau maritim, ini (melibatkan) isu kedaulatan, (jadi) isu ini amat sensitif,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Henry Sum Agong (Gabungan Parti Sarawak-Lawas) yang ingin tahu inisiatif kerajaan untuk menaik taraf jalan perhubungan sempadan Lawas denganTemburong yang terletak di wilayah negara jiran itu.
Henry Sum turut mendedahkan jalan perhubungan di kawasan itu belum ditentukan garis persempadanan yang menyukarkan kerja penyelenggaraan.
Sementara itu jelas Mohamad, kerajaan akan mengambil langkah berjaga-jaga sebelum menandatangani sebarang perjanjian agar semua pihak terutamanya Kerajaan Sarawak dapat mengurus infrastruktur di kawasan itu.
“Apabila kita bersetuju, pihak terlibat akan duduk sama-sama menyelesaikan pekara tersebut,” katanya. -TVS