KUCHING, 15 Julai: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi hari ini menghadiri Majlis Istiadat Menghadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam di Istana Nurul Iman, Brunei Darussalam.
Lawatan kerja dua hari beliau ke Brunei adalah bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-78 Keputeraan Duli Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Ketibaan beliau diiringi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta isteri, Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud.
Turut hadir, pemimpin negara lain seperti Singapura, Arab Saudi, United Kingdom dan Indonesia.
Pada malam esok, Tun Wan Junaidi serta isteri dijadual menghadiri Majlis Santapan Malam Bersempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah di Dewan Persantapan Diraja Istana Nurul Iman. – TVS