KUCHING, 15 Julai: Sarawak menyambut baik cadangan Menteri Digital Gobind Singh Deo untuk menggubal undang-undang baharu bagi meletakkan tanggungjawab kepada pemilik akaun media sosial atas penyalahgunaan termasuk kes buli siber.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Liwan Lagang berkata, namun begitu, undang-undang tersebut perlu diteliti dan dikaji terlebih dahulu sekiranya Sarawak memilih untuk melaksanakannya di sini.
“Bengkel hari ini akan menentukan hala tuju yang akan diambil Sarawak. Ini kerana SMA (Lembaga Multimedia Sarawak) telah menjemput pakar untuk menelitinya (cadangan undang-undang). Sekiranya undang-undang (itu) diluluskan di Parlimen, kalau bersesuaian kenapa tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Securing Sarawak Digital Future: A Cyber Security Workshop for Industry Leaders anjuran SMA di sini, hari ini.
Sebelum ini Gobind, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said telah membangkitkan isu buli siber terutama kes kematian pempengaruh TikTok, A. Rajeswari atau Esha.
Dalam pada itu, bengkel keselamatan siber itu dihadiri oleh 24 wakil agensi dan jabatan kerajaan di Sarawak serta wakil industri daripada pelbagai sektor berkaitan.
Ia bertujuan untuk memperoleh cadangan dan pandangan daripada pelbagai pihak yang terlibat dalam usaha untuk merangka polisi keselamatan siber serta memantapkan lagi struktur tadbir urus dan pengerusan keselamatan siber di Sarawak.
Turut hadir, Pengurus Besar SMA Dato Dr. Anderson Tiong Ing Heng dan Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Jafri Lias. – TVS