SEREMBAN, 30 Julai — Seorang pelajar lepasan universiti kerugian RM138,990 selepas ditipu penawaran kerja sambilan menerusi Facebook di Port Dickson, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata wanita berusia 24 tahun itu melihat iklan tawaran kerja di Facebook dan kemudian berurusan dengan seorang individu yang memintanya memuat turun aplikasi PbCompany dengan diberikan nama pengguna dan kata laluan.
“Wanita itu perlu mencapai sasaran dengan memasukkan wang sehingga nilai barangan daripada laman Shopee, Lazada atau Zalora dipesan oleh syarikat itu mencukupi,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata wanita tersebut menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik arwah bapa tirinya untuk melakukan pembayaran ke dalam beberapa akaun bank berbeza.
Aidi Sham berkata wanita itu perlu memasukkan wang ke dalam akaun bagi mencapai sasaran pesanan tersebut dan dia dijanjikan komisen 2.5 peratus serta wang dimasukkan itu dikembalikan semula.
Menurutnya, wanita berkenaan membuat bayaran menerusi 15 transaksi pada hari sama hingga Ahad lepas ke dalam enam akaun berbeza melibatkan jumlah RM138,990.
Aidi Sham berkata mangsa kemudian membuat laporan polis pada Selasa lepas apabila menyedari setelah kesemua pembayaran dibuat, dia masih gagal mendapat wang komisen seperti dijanjikan serta diminta melakukan pembayaran.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai dinasihati agar tidak mendedahkan data peribadi atau identiti diri kepada mana-mana individu serta tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan dengan gaji tinggi.
Orang ramai perlu membuat semakan nombor http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat sebarang transaksi dan menyemak latar belakang syarikat atau majikan sebelum memohon pekerjaan, katanya.
— BERNAMA