MIRI, 11 Julai: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengakui sumbangan dan sokongan masyarakat Cina dalam pembangunan Sarawak sentiasa mendapat perhatian dan pengiktirafan kerajaan negeri.
Sehubungan itu, beliau mahu seluruh masyarakat Cina bersatu hati serta memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Abang Johari menyifatkan Dr Sim antara pemimpin berbangsa Cina yang kelihatan bekerja keras dalam memperjuangkan pembangunan dan kesejahteraan masyarakat Tiong Hua di Sarawak, terutamanya dalam aspek pendidikan.
“Kalau kita tidak ada wakil masyarakat Cina di dalam kerajaan ia nya merupakan satu kerugian yang sangat besar.
“Dr Sim seorang pemimpin yang sangat bekerja keras. Masyarakat Cina perlu menyokong dan membantu beliau kerana kita di dalam kerajaan dari dulu lagi sentiasa berkerjasama antara satu dengan yang lain,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian SJK (C) Chiaw Nan hari ini.
Beliau dalam pada itu menekankan bahawa Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) beruntung dipimpin Dr Sim selaku presiden parti terbabit.
“Budaya bekerjasama ini telah lama wujud semenjak dari kepimpinan terdahulu sehingga sekarang.
“Kita juga saling hormat-menghormati antara satu sama lain, tidak ada masalah yang timbul,” tambah beliau. -TVS