KUALA LUMPUR, 9 Julai: Kementerian Pendidikan (KPM) meminta pihak bertanggungjawab membuat laporan segera sekiranya wujud isu kemudahan pendidikan daif di sekolah.
Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, beliau dimaklumkan masalah itu dihadapi oleh pelajar Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simunjan No 1.
Jelas Kah Woh, laporan boleh dibuat kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
“Di Parlimen Batang Sadong terdapat satu pusat Tingkatan Enam di SMK Simunjan No 1 di mana rekod menunjukkan bagi semester tiga terdapat 59 orang pelajar dengan pakej yang ditawarkan adalah bidang sains sosial.
“Berkenaan isu penyelenggaraan kabin yang diletakkan di sekolah (itu) saya minta Batang Sadong memberikan perincian kepada kami supaya KPM dapat menjalankan kerja penyelenggaraan yang bersesuaian,” katanya pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Kah Woh menjawab soalan Rodiyah Sapiee (Gabungan Parti Sarawak – Batang Sadong) yang ingin tahu hala tuju tingkatan enam termasuk kekuatan subjek dan fasiliti dan rancangan transformasi KPM terhadap pengajian tingkatan enam dalam masa terdekat.
Rodiyah turut mendedahkan kepada dewan seramai 59 pelajar tingkatan enam sekolah itu ditempatkan di blok kabin yang dalam keadaan daif dengan siling runtuh dan lantai berlubang.
Sementara itu jelas Kah Woh, KPM mempunyai rancangan untuk meluaskan Kolej Pra – Universiti di kawasan berkeperluan di seluruh negara. -TVS.