KUALA LUMPUR, 29 Julai — Walaupun sudah dua jam berlalu, namun belum ada perkembangan terbaharu diperoleh kumpulan media yang ‘berkampung’ sejak 1 tengah hari di kediaman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara, di sini.
Suasana semasa di situ tenang dan hanya kelihatan pergerakan beberapa kenderaan dipercayai membawa menteri masuk serta keluar daripada kediaman perdana menteri itu.
Beberapa kenderaan rasmi itu dilihat mula meninggalkan kawasan rumah perdana menteri kira-kira 3.40 petang.
Bagaimanapun, petugas media yang mula berkumpul sejak 1 tengah hari tadi tidak berganjak dari kawasan itu bagi menantikan perkembangan selanjutnya susulan kenyataan Istana Negara berkaitan Ordinan Darurat hari ini.
Keadaan jalan memasuki kediaman perdana menteri itu yang sebelum ini lengang, kini penuh dengan deretan kenderaan pengamal media yang diparkir di bahu jalan.
— BERNAMA